ma....kita nak mata mcm mama... |
Bila pandang wajah ibu kita kala tiada perkara lain dilakukan, hati tentu rasa sesuatu. Biarpun wajah itu sudah berkedut dimamah usia, pada kita yang sudah semakin dewasa kala wajah itu nampak semakin tua, pasti akan timbul satu rasa dalam hati yang sukar digambarkan.
Tenang, sebak, terharu, sayang, berkumpul menjadi satu.
Rasulullah s.a.w pun pernah bersabda yang meletakkan tempat ibu tinggi sedikit dari tempat ayah sebanyak tiga kali. Namun tetap keduanya wajib dihormati dan dihargai selayaknya. Kerana ibu yang mengandungkan kita selama 9 bulan, kemudian menyusukan dan membesarkan kita dengan pelbagai didikan hingga jadinya kita yang sekarang, begitu banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh seorang ibu. Subhanallah.
Bila melihat ibu sendiri (yang berjaya menjadi ibu mithali), tentu dalam hati anak-anak gadis terdetik satu perasaan ingin menjadi seperti ibu. Malah terdetik juga persoalan sama ada mampu atau tidak menjadi seperti ibu yang begitu kuat dan tabah. Kalau sekarang ini masih belum nampak akan jadi seperti ibu, tetap juga ditanam dalam hati mahu jadi seperti ibu satu hari nanti.
Memandang wajah ibu bapa sahaja sudah menambah pahala, apatah lagi jika berbuat baik dengan mereka. Seboleh-bolehnya tidak mahu sekalipun hati dan rasa mereka terguris dengan apa-apa sahaja tindakan luar kawalan akibat jiwa yang dikuasai nafsu mahupun amarah. Jika itu berlaku, tanpa ada rasa untuk memohon keampunan, tunggulah balasan dari Yang Maha Berkuasa.
Moga kita semua dijauhkan dari label anak derhaka oleh penghuni langit.